RUJUKAN DAN SUMBER PEMBELAJARAN SEMASA
ADD OUMClub TO FAVOURITES
Custom Search

PERDANA MENTERI UMUMKAN KAEDAH KENAIKAN PANGKAT GURU

PERDANA MENTERI UMUMKAN KAEDAH KENAIKAN PANGKAT GURU

Guru mendapat pengiktirafan yang berlipat ganda oleh kerajaan apabila lima skim kenaikan pangkat akan diperkenalkan pada awal tahun hadapan.

Perdana Menteri mengumumkan demikian dalam satu rakaman video yang disiarkan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Borneo Convention Centre, Kuching pada 16 Mei 2011.

Dalam pengumuman tersebut, Perdana Menteri menjelaskan lima kaedah kenaikan pangkat tersebut merupakan kaedah yang hanya terdapat dalam skim perkhidmatan perguruan.

Kaedah-kaedah tersebut ialah kenaikan pangkat berdasarkan kekosongan jawatan, kenaikan pangkat berdasarkan kaedah khas untuk penyandang (KUP), kenaikan berdasarkan guru besar dan pengetua cemerlang, guru wibawa dan guru pendita.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa jawatan guru besar akan dinaiktaraf kepada DG A34 bagi sekolah rendah berbanding DGA 32 dan pengetua sekolah dari DG 48 kepada DG 52 manakala guru penolong kanan akan dinaiktarafkan kepada DG 48 bagi sekolah menengah.
Dalam siding media selepas berucap di majlis perasmian sambutan Hari Guru, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran menjelaskan bahawa keputusan kerajaan untuk memberikan lima kaedah kenaikan pangkat tersebut bukanlah untuk menghadapi pilihan raya umum tetapi merupakan pengiktirafan kerajaan ke atas perkhidmatan perguruan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, usaha kerajaan menambahbaikkan skim perguruan akan diteruskan sebagau usaha berterusan untuk melonjakkan transformasi kecemerlangan perkhidmatan pendidikan.

"Boleh kita tekan bahawa perkhidmatan perguruan di negara ini mendapat layanan yang adil," katanya kepada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Guru 2011, peringkat kebangsaan ke-40 di sini Isnin.

Dalam ucapan perasmian tersebut Timbalan Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak kerana memberikan tumpuan yang istimewa kepada profesion perguruan walaupun negara sedang mengawal defisit kewangan.

Menurut Menteri Pelajaran , kementeriannya akan terus berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan dengan skim perkhidmatan perguruan termasuk meletakkan kedudukan yang sesuai guru siswazah, meningkatkan lebih ramai lagi guru-guru berijazah di sekolah rendah dan menengah.

Mengenai sumbangan guru dalam menjayakan pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara, Tan Sri Muhyidun Yassin berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh para guru sehingga melepasi sasaran yang ditetapkan.


Kementerian telah berjaya meningkatkan kadar penyertaan prasekolah kepada 72.42 peratus sedangkan sasarannnya ialah 72 peratus pada tahun 2010.

Mengenai tahap pencapaian kadar literasi murid ia juga telah meningkat dari 64 peratus kepada 85 peratud manakala kadar numerasi dari 73 peratus kepada 91 peratus pada tahun lalu.


"Kita juga telah mengumumkan senarai 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun lepas dan sebanyak 23 buah sekolah lagi telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi untuk tahun ini," katanya.


Lantaran itu, Tan Sri Muhyiddin berbangga dengan sumbangan para guru yang telah melonjakkan kecemerlangan pendidikan tanpa mengenal batasan geografi dan berterima kasih di atas kesanggupan para guru untuk berkhidmat di kawasan pedalaman.


"Ini dibuktikan, misalnya, dengan kejayaan SK Ulu Lubai, sebuah sekolah di kawasan pedalaman Sarawak, mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini," katanya.

Di samping itu, beliau berkata inisiatif tawaran baru juga telah menunjukkan hasil yang amat positif apabila guru-guru dari 1,400 buah sekolah berjaya melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan untuk sekolah masing-masing dan mereka layak menerima bayaran insentif masing-masing.

Sambutan perayaan Hari Guru yang diadakan di Sarawak pada tahun ini merupakan kali ke-40 dan dihadiri oleh lebih 4,000 orang guru dari seluruh negara.

Malam sebelumnya, para guru diraikan dalam satu majlis Malam Berambih yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak di mana Ketua Menteri, Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud dan isteri meraikannya dalam satu satu majlis yang gilang gemilang. Turut hadir dalam Majlis Berambih ialah kedua-dua Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong dan Dr Puad Zarkhasi; Ketua Setiausaha, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.
Ketua Menteri dan isteri turut hadir dalam majlis perasmian perayaan Hari Guru yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri. Dalam majlis tersebut turut diisyhtiharkan tokok guru dan kepimpinan pendidikan kepada lima orang bekas guru, iaitu Prof Datuk Dr Abdul Rahim Selamat (mantan Pengarah Institut Aminudin Baki), Dato’ Siva Subramaniam (mantan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan –NUTP), Cik Hamedah Wok Awang (mantan Pengetua SMK Air Puteh, Kuantan), Datuk Hajah Rita T Jaafar @ Rita Bagong (mantan Pengetua Maktab Perguruan Gaya, Sabah) dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan kepada Datuk Dr Haji Nor Daim @Matnor Daim (mantan Ketua Pengarah Pelajaran).

Tema perayaan Hari Guru pada tahun ini ialah Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara mula disambut pada 12 Mei 2011 dengan Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya manakala Festival Hari Guru telah diadakan pada 13 hingga 16 Mei 2011 di Tebingan Sungai Sarawak.

Tan Sri Muhyiddin dan isteri bersama-sama Ketua Menteri dan isteri kemudiannya meluangkan masa melawat gerai-gerai pameran pendidikan di samping melancarkan buku Razali Ismail: Arkitek Pendidikan Negara sebelum pulang ke Kuala Lumpur.(akh)


http://buletinkpm.blogspot.com/